Rabu, 5 September 2012

PEMERIKSAAN KESIHATAN BERJADUAL






Sila buat pemeriksaan berjadual;



PRINSIP-PRINSIP PEMAKANAN SIHAT

Mari kita berkongsi maklumat yang disajikan sebagai panduan dan rujukan;






PRINSIP-PRINSIP PEMAKANAN SIHAT
Cara terbaik untuk memastikan keperluan makanan ahli keluarga dipenuhi adalah dengan mengambil pelbagai jenis makanan dan mengamalkan prinsip-prinsip pemakanan sihat iaitu :

  • Makan pelbagai jenis makanan
    Mengambil pelbagai jenis makanan dapat memastikan tubuh badan mendapat semua khasiat makanan yang diperlukan. Gunakan Piramid Makanan sebagai panduan untuk memilih makanan sekeluarga.
  • Makan bijirin dan kekacang secukupnya
    Bijirin merupakan sumber tenaga yang utama. Bijirin juga kaya dengan serat terutamanya bijirin atau hasil bijirin mil penuh. Contoh bijirin dan hasil bijirin adalah nasi, roti, mi dan mihun.

    Kekacang merupakan sumber serat yang baik. Ianya juga kaya dengan protin dan mempunyai kandungan lemak yang rendah. Contoh kekacang adalah kacang soya, kacang pis dan kacang dhal.
  • Makan lebih buah-buahan dan sayur-sayuran
    Kebanyakan buah-buahan dan sayur-sayuran mengandungi lemak yang rendah dan membekalkan pelbagai jenis zat seperti vitamin A, vitamin C, asid folik, zat besi dan kalsium yang kesemuanya penting untuk kesihatan. Sayur-sayuran dan buah-buahan juga kaya dengan serat. Pengambilan makanan yang tinggi kandungan serat adalah penting untuk melawaskan pembuangan najis dan dapat membantu mencegah penyakit sembelit yang kronik, buasir dan penyakit usus (diverticular diseases). Serat juga dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung, diabetes dan beberapa jenis kanser.
  • Imbangkan pengambilan makanan dengan aktiviti fizikal
    Aktiviti fizikal dapat membantu badan anda membakar kalori yang berlebihan daripada makanan. Ianya dapat membantu mengawal berat badan. Jika berat badan berlebihan, kurangkan pengambilan makanan dan tingkatkan aktiviti fizikal.
  • Pilih makanan yang rendah lemak dan kolesterol
    Lemak adalah sumber tenaga yang baik dan diperlukan untuk membantu menyerap vitamin-vitamin larut lemak, iaitu vitamin A, D, E dan K. Ia juga melazatkan makanan dan dapat memperbaiki tekstur makanan. Lemak yang berlebihan daripada makanan akan disimpan di dalam badan sebagai lemak badan. Kehadiran lemak badan ini akan menyebabkan berat badan anda bertambah. Lemak yang berlebihan meningkatkan risiko penyakit jantung koronari, strok, obesiti dan masalah-masalah kesihatan yang lain.
  • Kurangkan pengambilan garam dan gula
    Kebanyakan makanan yang diawet dan diproses mempunyai kandungan garam dan gula dan lebihkan makanan segar. Jika menggunakan kicap atau sebarang sos, garam tidak perlu ditambah di dalam masakan. Rasalah makanan terlebih dahulu sebelum menambah garam. Kurangkan juga penggunaan gula dalam penyediaan minuman dan kuih muih.
  • Minum sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas air sehari
    Air adalah penting untuk fungsi fisiologi di dalam badan, mengawal suhu badan dan mengeluarkan bahan sisa dari badan. Air diperlukan untuk menggantikan cecair tubuh yang hilang, terutamanya jika kita melibatkan diri dalam aktiviti fizikal. Minumlah air sebanyak enam hingga lapan gelas sehari. Dan dalam keadaan-keadaan tertentu seperti bekerja di dalam bilik berhawa dingin, minumlah air dengan banyak walaupun tidak merasa dahaga.

SETIAP AHLI KELUARGA MEMERLUKAN MAKANAN YANG BERKHASIAT DAN SEIMBANG SETIAP HARIPanduan berikut boleh digunakan ketika anda merancang hidangan harian untuk keluarga :

SARAPAN PAGI


  • Hidangkan sarapan yang berkhasiat.
  • Sebaik-baiknya mulakan dengan buah-buahan segar atau jus buah-buahan. Ini merupakan pembuka selera dan pembekal serat.
  • Sajikan makanan berasaskan bijirin seperti nasi, bubur, mi, roti dan bijirin sarapan. Jika memilih roti, sebaik-baiknya pilihlah roti mil penuh. Hidangkan makanan ini dengan sedikit daging tanpa lemak, ikan atau telur. Roti boleh dimakan dengan keju rendah lemak, mentega kacang atau susu.
  • Susuli dengan minuman yang berasaskan susu.
MAKAN TENGAHARI
  • Sediakan hidangan yang ringkas.
  • Jika makan di luar, pelbagaikan pilihan anda setiap hari. Dapatkan pilihan yang lebih sihat dan berkhasiat.
  • Pilihlah hidangan yang mengandungi makanan dari kesemua kumpulan makanan mengikut Piramid Makanan

 
MAKAN MALAM
  • Makan malam merupakan masa yang terbaik untuk melengkapkan pengambilan makanan dalam sehari. Contohnya, sekiranya terdapat kekurangan jenis-jenis makanan yang diambil pada siang hari, makanan tersebut boleh diambil pada waktu ini.
  • Sebaik-baik sediakan dua hidangan sayur-sayuran dan salah satu daripadanya ialah sayur-sayuran berdaun hijau.
  • Elakkan daripada makan terlalu hampir dengan waktu tidur. Makanlah sekurang-kurangnya dua jam sebelum tidur.
SNEK
  • Jika perlu makanlah dengan sedikit. Pilihlah snek yang berkhasiat dan yang kurang kandungan lemak dan gula, contohnya buah-buahan, sandwic, kacang rebus, jagung rebus dan biskut.
Setiap makanan mengandungi nutrien tetapi perlulah dipilih jenis makanan yang mengandungi lebih nutrien. Gunakan panduan berikut ketika memilih dan menyediakan makanan.
  • Sediakan pelbagai jenis makanan dalam setiap hidangan.
  • Utamakan makanan yang kaya dengan karbohidrat sebagai sumber tenaga seperti nasi, roti, mi dan ubi.
  • Juga pentingkan makanan yang membekalkan vitamin, mineral dan serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Biasakan memilih buah-buahan yang segar dan berwarna serta sayur-sayuran berdaun hijau yang mengandungi banyak vitamin dan mineral.
  • Pilih makanan yang membekalkan protin seperti ikan, ayam, daging, telur dan kekacang.
  • Pilih makanan yang kaya dengan kalsium contohnya susu, keju dan dadih. Makanan lain seperti ikan bilis, ikan tamban dan ikan sardin juga kaya dengan kalsium.
  • Kurangkan menggoreng makanan terutamanya makanan yang disaluti tepung dan kurangkan masakan yang bersantan.
  • Guna susu rendah lemak atau susu skim bagi menggantikan santan kelapa dalam masakan anda. Masukkan kentang, tomato atau bawang yang dikisar untuk memekatkan kuah.
  • Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemak, minyak, gula dan garam seperti snek dan makanan segera. Hadkan memakan makanan segera tidak lebih daripada dua kali sebulan.
  • Gunakan kaedah memasak yang dapat mengekalkan warna dan rasa asal makanan.
  • Selalulah menghidangkan makanan yang baru dimasak.
  • Apabila membeli makanan bertin atau berbungkus, bacalah label bagi membantu anda memilih makanan yang berkhasiat dan menjimatkan.
UTAMAKAN KEBERSIHAN DAN KESELAMATAN MAKANAN BAGI MENJAMU KESEJAHTERAAN KELUARGA
Kuman hidup di merata-rata tempat dan boleh mencemari makanan jika tidak disediakan secara bersih. Persekitaran yang kotor, terutamanya di dapur mengundang makhluk perosak seperti tikus, lipas dan semut yang juga boleh mencemar makanan dan menyebabkan keracunan.
Panduan berikut boleh digunakan untuk menyedia dan menghidangkan makanan secara bersih.
  • Basuh tangan dengan sabun setiap kali sebelum menyediakan makanan dan selepas ke tandas. Tangan merupakan tempat yang sering mengumpul kotoran dan habuk, termasuk kuman (bakteria dan virus), yis dan kulat.
  • Amalkan kebersihan diri yang baik. Rambut, hidung atau mulut janganlah disentuh semasa menyediakan makanan. Luka-luka kecil dan kudis di muka, tangan dan lengan perlulah dibalut dengan plaster. Tanggalkan cincin, gelang dan jam sebelum menyediakan makanan kerana barang-barang tersebut mudah dilekati kotoran yang membolehkan bakteria mencemari makanan.
  • Jangan bersin atau batuk ke arah makanan.
  • Sentiasa gunakan tuala yang bersih. Gunakan tuala yang berasingan untuk mengelap pinggan mangkuk, mengelap tangan atau mengelap meja bagi mengelakkan pencemaran silang.
  • Cuci pinggan mangkuk, sudu, garpu, periuk belanga dan peralatan dapur yang lain, terutamanya papan landas dan pisau dengan sabun dan bilas dengan air yang bersih. Sekiranya boleh, gunakan air panas. Pastikan peralatan menghidang makanan seperti pinggan, mangkuk, sudu, garpu dan gelas bersih sebelum digunakan.
  • Gunakan papan landas dan pisau yang berasingan bagi memotong bahan-bahan makanan yang dimakan mentah seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan roti dari yang digunakan untuk memotong ayam, daging dan ikan.
  • Bersihkan dapur, bahagian atas kabinet dan meja serta lantai dengan menggunakan air bersih dan sabun pencuci bagi mengurangkan masalah lalat, tikus dan lipas. Gunakan air panas di mana boleh. Pastikan agar dapur dan sinki sentiasa bersih dan kering.
  • Basuh semua makanan dengan air yang bersih dan mengalir.
  • Tudung dan simpan semua makanan yang dimasak dengan sempurna. Simpanlah makanan di dalam bekas yang bersih dan bertutup untuk mengelak kerosakan dan pencemaran. Jangan sekali-kali menggunakan bekas racun untuk menyimpan makanan atau minuman dan elakkan daripada menggunakan surat khabar bagi menutup makanan.
  • Jangan biarkan makanan yang telah dimasak pada suhu bilik selama lebih dari empat jam.
  • Ahli keluarga yang demam, batuk, selsema atau cirit birit tidak digalakkan menyediakan makanan kerana mereka boleh menyebarkan kuman ke dalam makanan.
  • Kebersihan tempat menyimpan makanan adalah sangat penting. Almari tempat menyimpan makanan hendaklah sentiasa ditutup dengan rapat bagi mengelakkan daripada dimasuki tikus dan serangga seperti lalat dan lipas. Almari tersebut juga perlulah mempunyai pengudaraan yang cukup untuk mengeluarkan bau dan haba yang berlebihan. Cara penyimpanan makanan yang betul dapat mengurangkan kerosakan, pencemaran dan pembaziran bahan-bahan makanan. Didik anak-anak cara menyimpan makanan mudah rosak yang tidak digunakan serta merta.
  • Makanan perlu disimpan pada suhu yang betul bagi menjaga mutu dan khasiatnya. Makanan yang telah dimasak hendaklah dimakan secepat mungkin, sebaik-baiknya ketika masih lagi panas. Jika makanan hendak disejukbekukan, bahagikan makanan yang hendak disejukbeku kepada siaz hidangan yang kecil. Gunakan bekas yang leper dan bertutup atau masukkannya ke dalam plastik makanan dan tandakan dengan tarikh makanan disimpan. Elakkan dari menggunakan semula bekas styrofoam untuk menyimpan makanan. Cairkan makanan beku di bahagian bawah dalam peti sejuk atau di dalam ketuhar gelombang mikro. Elak dari mencairkan makanan beku pada suhu bilik. Makanan yang telah dicairkan tidak boleh dibekukan semula.
  • Bahagian bawah dalam peti sejuk (refrigerator) sangat sesuai untuk menyimpan makanan yang mudah rosak yang tidak perlu dibekukan.Suhunya perlu dikekalkan pada 4C atau kurang.
Selamat membaca.

Tips berikut khas untuk pesara;

Penyakit jantung berlaku apabila salur darah di jantung menjadi sempit dan tersumbat.  Gejalanya mungkin berbeza di kalangan orang yang lebih tua.
2  jenis penyakit jantung yang biasa berlaku di kalangan warga tua adalah:
  • Angina
  • Serangan jantung
Angina
Serangan Jantung
Sakit dada apabila:
  • Berkuat datau
  • Terlalu suka atau
  • Marah
Ini disebabkan oleh kekurangan oksigen ke jantung.
Sakit dada akan hilang setelah mendapat rehat beberapa minit atau diletak GTN (ubat di bawah lidah)
Mereka akan menjadi resah gelisah atau berdebar-debar bukan terasa sakit dada. Sesetengahnya akan hanya merasa letih.
  • Dapatkan bantuan perubatan jika ini adalah serangan pertama
  • Letakkan ubat GTN di bawah lidah apabila serangan ini berlaku
  • Berjumpa doktor sekiranya keadaan tidak reda walaupun selepas 3 kali mengambil GTN kerana ini mungkin serangan jantung.
  • Berehat secukupnya
  • Elakkan konflik

LANGKAH LANGKAH PENGAMBILAN UBAT YANG SELAMAT
Oleh Dr Mohd Izham Mohd Ibrahim - Pusat Racun Negara,USM
Selain daripada kebaikan, ubat-ubat yang dihasilkan di kilang-kilang farmaseutikal juga boleh mendatangkan kesan sampingan kepada pengguna. Walaupun para saintis telah cuba memaksimakan kesan baik dan meminimakan kesan buruk ubat dengan mengubah struktur kimia ubat, namun mereka masih belum berjaya menghasilkan suatu ubat yang benar-benar bebas dari kesan sampingan. Adalah dianggarkan bahawa sebanyak 10% insiden kesan sampingan ubat akan berlaku daripada pengambilan sesuatu ubat. Oleh itu peraturan seperti "Ubat yang betul untuk pesakit yang betul dalam dos yang betul melalui saluran yang betul pada masa yang betul" telah diambilkira oleh doktor semasa membuat keputusan untuk mempreskripsikan ubat kepada seseorang pesakit.
Garispanduan penggunaan ubat yang selamat dan berkesan
Garispanduan ini menerangkan perkara-perkara yang harus dititikberatkan semasa mengambil ubat, samada ubat-ubat preskripsi ataupun tanpa preskripsi. Apabila mengambil ubat, pengamal-pengamal perubatan bersetuju bahawa adalah penting untuk memberi perhati an kepada keperluan kesihatan seseorang pesakit. Oleh itu, maklumat yang berkaitan dengan ubat-ubatan boleh didapati daripada doktor, ahli farmasi atau pada label ubat. Di bawah ini adalah perkara-perkara yang harus dilakukan semasa mengambil ubat.
Anda Harus:
  • Tahu nama ubat (jenama dan generik) yang sedang diambil.
  • Membaca label botol atau sampul ubat sebelum memakan sesuatu ubat.
  • Mematuhi arahan doktor atau ahli farmasi mengenai jumlah ubat yang harus dimakan, waktu makan ubat dan tempoh untuk menghabiskan ubat tersebut. Sebarang perubahan haruslah mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi.
  • Goncang ubat-ubat dalam bentuk larutan (suspensi) untuk memastikan bahan-bahan dalam ubat tersebut dapat diseratakan.
  • Menggunakan alat sukatan yang tepat dan standard semasa menyukat ubat cecair. "Sudu teh" yang terdapat di rumah mempunyai saiz yang berbeza-beza.
  • Ikut arahan doktor dari segi pemakanan harian semasa memakan ubat kerana terdapat interaksi di antara sesetengah ubat dengan makanan. Interaksi ini boleh menjejaskan keberkesanan ubat.
  • Memberitahu doktor anda tentang ubat yang telah dipreskripsikan oleh doktor lain dan ubat yang dibeli di kedai farmasi.
  • Memberitahu doktor atau ahli farmasi bahawa anda sedang hamil supaya mereka boleh menyarankan ubat yang selamat untuk anda dan bayi anda.
  • Catitkan nama semua ubat-ubat yang diambil (termasuk vaksin) semasa hamil serta tarikh pengambilan dan tujuannya.
  • Catitkan nama semua ubat-ubat yang memberi kesan sampingan dan alahan (alergik) kepada anda atau ahli keluarga anda, terutama wargatua dan kanak-kanak.
  • Memberitahu doktor dan ahli farmasi mengenai nama ubat-ubat yang memberi kesan sampingan dan alahan (alergik) kepada anda dan ahli keluarga anda.
  • Memberitahu doktor anda atau ahli farmasi bahawa anda sedang mengalami kesan sampingan ubat yang sedang diambil.
  • Pastikan samada ubat yang sedang diambil selamat untuk memandu kenderaan atau menggunakan peralatan berjentera.
  • Pastikan samada makanan atau ubat tertentu harus dielakkan semasa mengambil ubat yang dipreskripsikan oleh doktor.
  • Menepati temujanji dengan doktor supaya keberkesanan ubat yang anda ambil dapat dilihat.
  • Mendapatkan maklumat dan penjelasan dari doktor dan ahli farmasi mengenai sebarang masalah dan kemusykilan tentang ubat tersebut. Minta maklumat bertulis jika ini dirasakan berguna kelak.
  • Buang semua ubat preskripsi selepas tarikh luput. Ini akan menghindarkan penggunaan ubat yang mudah rosak selepas tarikh luputnya.
  • Simpan ubat-ubat pada tempat yang sepatutnya atau dalam bekas yang sesuai.
  • Simpan ubat-ubat pada tempat yang selamat supaya tidak dapat diambil oleh kanak-kanak. Ini dapat menghindar dari masalah keracunan.
Sumber: Buletin “Penawar Racun” Bil. 5 November 1995 (Buletin Umum Pusat Racun Negara, USM)

Berlaku apabila salah satu salurnadi jantung tersumbat sepenuhnya.  Biasanya di golongan yang lebih muda akan mengalami sakit dada seperti angina berlarutan sehingga ½ jam dan menjadi lebih teruk.
Adakalanya mereka tidak merasakan sakit dada cuma terasa pening, gelap mata, meloya atau sesak nafas.
  • Dapatkan bantuan perubatan secepat mungkin.
  • Lakukan bantuan kecemasan
  • Pergi ke hospital dengan segera.


Langkah pencegahan

Amalan cara hidup sihat seperti berikut:
  • Amalkan cara pemakanan yang seimbang serta sihat (kurang lemak, garam serta gula)
  • Kawal berat badan
  • Senaman yang berkala
  • Hentikan merokok
  • Elakkan tekanan (stres)

MAKANAN SIMBANG

Sila patuhi saranan yang diutarakan oleh BISTARI

MAKANAN SEIMBANG

         Makanan seimbang ialah pengambilan makanan yang cukup untuk keperluan tubuh badan. Manusia memerlukan makanan dan vitamin untuk pembesaran dan menjaga kesihatan. Media massa turut mempopularkan pemakanan seimbang menerusi pelbagai program dan penulisan artikel mengenai pemakanan yang sihat ini. Oleh itu, wujud pelbagai kebaikan daripada makanan seimbang ini.

Kepentingan pemakanan seimbang yang utama ialah sikap ini menjadikan pembesaran manusia itu lebih sempurna daripada aspek fizikal. Tubuh badan menerima semua keperluan zat yang diperlukan untuk membina tubuh badan yang kuat daripada keperluan fizikal manusia. Keupayaan fizikal yang ketara ini menjadikan seseorang manusia itu boleh menjalankan tugasnya dengan begitu baik dan sempurna. Jelaslah, pemakanan seimbang menjadikan fizikal manusia itu lebih baik berbanding manusia lain yang kurang menjaga aspek pemakanannya.

        Selain itu, pemakanan yang seimbang menjadikan perkembangan mental seseorang itu terganggu pula. Kekurangan zat makanan yang tertentu boleh menjadikan mental seseorang itu tidak cukup cerdas atau mudah letih apabila cuba menyelesaikan sesuatu perkara yang dialami dalam kehidupan seseorang itu. Keadaan ini menjadikan seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalahnya dengan lebih efektif berbanding dengan individu yang seimbang aspek pemakanannya. Jadi, pemakanan seimbang menjadikan aspek mental manusia lebih stabil dan berdaya tahan.

          Kemungkinan kepentingan pemakanan seimbang yang mudah difahami ialah makanan yang seimbang memberikan vitamin yang cukup kepada badan seseorang itu. Keperluan vitamin yang cukup ini menjadikan tubuh manusia itu lebih tahan untuk menghadapi sebarang jangkitan penyakit atau tidak mudah untuk jatuh sakit. Kesihatan manusia dikatakan perkara yang paling penting dalam kehidupan seseorang itu. Sesungguhnya, manusia yang mengamalkan pemakanan seimbang akan mempunyai kesihatan yang sihat sejahtera sahaja.
 
 
Mari kita hayati bersama tatapan 'Pembudayaan Makanan Malaysia' sempena "Hari Makanan Sedunia Kali Ke 25"


SAMBUTAN HARI MAKANAN SEDUNIA KALI KE-25


"PEMBUDAYAAN MAKANAN MALAYSIA"

Oleh: Prof. Madya Norani Sidek
Fakulti  Pengurusan Hotel dan Pelancongan
Universiti Teknologi MARA
Shah Alam, Selangor


Di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia
Putrajaya, Malaysia

24 November 2005





‘Kepelbagaian’ merupakan perkataan utama apabila kita memperbincangkan tradisi makanan Malaysia. Di dalam perbincangan ini saya akan membawa anda sekelian melalui serambi gastronomi pelbagai kaum di Malaysia: Melayu, India dan China. Kita mulakan dengan pembudayaan makanan Melayu.

Dari segi sejarah, kaum Melayu ini mempunyai elemen-elemen dan usul asal dari Sumatra, Jawa, Thailand, Sulawesi dan juga Polinisia. Dengan pengaruh-pengaruh negara tersebut tidak hairanlah jika masakan Melayu mempamerkan sedikit sebanyak kualiti kulinari dari negara-negara tersebut.

Di Selangor, kaum Melayu dahulu kala merupakan pahlawan Bugis dari Sulawesi dan bagi orang Melayu Negeri Sembilan, menamakan diri mereka sebagai Minangkabau dari Sumatra. Kita beralih ke Utara: Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Perlis di mana pengaruh Acheh, Bugis dan Siam amat ketara. Pada abad ke 16, kaum Acheh mempunyai seorang ketua yang dikenali sebagai Mahkota Alam atau Iskandar Muda.  Beliau juga dikatakan mempunyai pengaruh besar ke atas negeri Pahang, Kedah dan Perak. Bagi negeri Kelantan, Kedah dan sebahagian negeri Terengganu pula dipengaruhi oleh Thailand atau Siam.  Ini dapat dilihat dari segi penyediaan makanan dan dialek percakapan mereka: ala Siam.

Kita ke selatan iaitu ke Johor. Di sini terdapat beberapa penempatan kaum Jawa dan Bugis.  Pada tahun 1639, di dalam perjanjian antara Johor dan Belanda, kerajaan Johor bersetuju untuk membantu menakluki Negeri Melaka dengan pertolongan pahlawan Bugis bernama Daeng Prani. Sebagai balasan terima kasih dengan kejayaan cemerlang ini, Daeng Prani dilantik sebagai Yam Tuan Muda Johor.

Sekarang kita ke Negeri Melaka untuk mengikuti perkembangan sejarah kaum Cina.  Pengaruh dari negeri China ini telah mula menular pada abad ke-15. Ianya bermula dengan lawatan admiral China Yin Ching dan Cheng Ho. Mereka singgah di Melaka dalam perjalanan ke Barat. Admiral Cheng turut membawa bersamanya adat resam dan budaya kaum Cina. Sultan Mahmud sungguh tertarik dengan kebudayaan Cina, lebih-lebih lagi apabila mengetahui mereka telah lama mengamalkan ajaran Islam. Perkahwinan di antara Sultan Mahmud dan Puteri Hang Li Poh mengeratkan lagi pertalian dua budaya ini. Walau bagaimanapun Malaysia hanya dapat menyaksikan pengaruh (tradisi, budaya dan masakan) dari China ini pada abad ke-18.  Pendatang dari China dibawa bekerja di lombong-lombong di Malaysia dan mereka membawa bersama budaya tradisi dan nilai etika kerja.

Kaum India mula menapak kaki di Malaysia 2,000 tahun yang lalu. Mereka merupakan pedagang dan pada abad ke-10 terdapat beberapa komuniti kecil keturunan India di pinggiran pantai. Ketika dijajah oleh Kerajaan Inggeris, kaum India di bawa masuk ke Semenanjung untuk bekerja di ladang-ladang getah dan seterusnya menetap disini. Di Melaka pula di Kampung Tujung terdapat kampung Chitty. Keturunan India di sini dikatakan berasal dari Kalinga (selatan timur India). Kaum Chitty di sini berkahwin dengan penduduk tempatan dan menerap nilai, tradisi dan budaya mereka. Bagi kaum wanita Chitty, mereka tidak memakai sari seperti wanita India. Mereka memakai kebaya panjang atau kebaya pendek. Bagi kaum lelaki pula apabila menghadiri pesta keugamaan, mereka mengenakan pakaian dhoti bukan sarong yang dipakai oleh kaum India yang lain.

Sebagai negara kosmopolitan, Malaysia juga mempunyai potpuri budaya yang agak unik. Gabungan kaum Melayu, Cina dan India Cina berjaya menyatukan pelbagai hidangan kepada ‘hidangan Malaysia’ dan menjadikan ia sebagai satu tarikan kepada pelancong luar. Penduduk di Malaysia ini juga dikatakan banyak menghabiskan masa di meja makanan dan menjadikan masa menikmati hidangan itu sebagai aktiviti kebangsaan.  Kaum Cina, India dan Melayu di Malaysia ini sentiasa kreatif, berganding bahu mereka masakan baru dengan menggabungkan pinjam meminjam tradisi budaya masing-masing. Dengan ini lahirlah nasi ayam, mi mamak, mi kari dan lain-lain.

Saya akan mulakan budaya makanan Malaysia ini dengan budaya makanan orang Melayu. Pelbagai lauk pauk tidak akan sempurna jika tidak diiringi dengan nasi. Nasi merupakan makanan utama bagi orang Malaysia dan orang Melayu amnya. Beras juga merupakan nadi budaya kehidupan dan adat bagi penduduk Asia. Bijirin kecil ini juga berjaya membentuk budaya diet (pemakanan) dan ekonomi penduduk Asia. Di Malaysia padi menjadi tanaman utama di Kedah dan Perlis dan dikenali sebagai ‘rice bowl of Malaysia’. Nasi dihidangkan dengan pelbagai lauk-pauk dan ulam ulaman.  Bahan yang digunakan dalam masakan Melayu berkisar kepada santan, cili dan belacan. Hidangan orang Melayu dikatakan mampu menghangatkan suasana di meja makan. Hidangan Melayu terkenal bukan sahaja dari keenakan tetapi dari segi kepedasan dan juga penggunaan rempah ratusnya.

Santan merupakan bahan asas dalam masakan kita. Ia digunakan dalam segala jenis gulai atau masak lemak. Bahan perasa (seasonings) dalam masakan Melayu di bahagi kepada dua: rempah basah dan rempah kering.  Rempah basah iaitu bahan yang ditumbuk dengan batu lesung: bawang, halia, bawang putih dan cili. Rempah kering pula termasuk biji ketumbar, jintan, buah pelaga, kayu manis dan lain-lain. Rempah ratus ini selalunya di sangai (digoreng tanpa minyak) terlebih dahulu sebelum ditumbuk atau dikisar. Orang Melayu juga banyak menggunakan bahan-bahan herba seperti serai, daun pandan, daun limau purut, daun kemangi, bunga kantan, kunyit, lengkuas dan buah pala.

Kita beralih pula ke masakan tradisi dan masakan popular orang Melayu di Malaysia. Kita masih mengemari masakan kampung atau masakan nenek dan emak kita dahulu. Orang Melayu di kampung-kampung masih berlandaskan pertanian. Di halaman-halaman rumah kampung kelihatan berkeliaran ayam, itik, ikan dari hasil tangkapan nelayan atau dari sawah dan bendang. Sayuran ditanam di belakang rumah dan juga di perairan sawah dan bendang. Pucuk paku, petai, daun pegaga, daun selum, daun kaduk, cendawan (kulat) dan lain-lain jenis ulaman daun menjadi makanan amalan orang Melayu di kampung.  Daun-daun ini selain kaya dengan sumber vitamin dan mineral, ia juga tinggi dari segi serat. Daun kaduk dan daun pegaga telah mendapat pengiktirafan dari WHO sebagai herba yang mempunyai pelbagai faedah kepada kita. Ia boleh merangsang aktiviti otak kanak-kanak, pengaliran darah yang sihat dan menghaluskan tekstur kulit seseorang.

Untuk pesakit diabitis dan tekanan darah tinggi, ulam jering boleh dijadikan ubat kerana kandungan alkali yang tinggi dan berfungsi sebagai bahan dirutik. Tongkat Ali merupakan akar kayu yang terbilang hasiatnya dari segi penambahan tenaga batin dan juga tenaga fisikal. Tongkat Ali dijual dalam bentuk tablet dan juga serbuk. Di restoran dan gerai, kopi tongkat Ali menjadi minuman kegemaran para pengunjung. Dahulu ulam dan akar kayu hanya dipopularkan oleh orang Melayu tetapi sekarang mendapat tempat di restoran dan hotel-hotel, dimana kita lihat kaum-kaum lain turut meminatinya.

Nasi lemak patut dijadikan makanan kebangsaan Malaysia. Ia bukan sahaja menjadi kegemaran orang Melayu tetapi turut di pelopori oleh kaum Cina dan India. Nasi lemak dahulunya dihidang untuk sarapan pagi tetapi pada masa kini dijadikan hidangan tengah hari dan malam. Ia juga turut dihidang pada rumah terbuka dan dijadikan salah satu menu (ala carte) di hotel-hotel.  Nasi lemak turut diiringi dengan beberapa lauk sampingan: kari ayam, rendang (ayam dan daging), sambal (sotong kering atau ikan bilis), ayam goreng dan paru goreng.

Di musim perayaan (hari lebaran, kenduri kendara) nasi tomato beserta lauk pauknya sentiasa menarik perhatian tetamu. Nasi tomato dihidang bersama ayam masak merah, dalca, ayam golek, pecal dan lain-lain. Bagi orang Melayu pantai Timur (Kelantan dan Terengganu) menghidangkan pelbagai juadah seperti nasi dagang, nasi berlauk, nasi minyak, ayam percik dan lain-lain. Negeri Perak pula berbangga dengan rendang tok dan gulai ikan sembilang tempoyak. Gulai lemak cili padi (ayam, ikan dan daging) pula dipelopori oleh orang Negeri Sembilan. Selain lauk pauk terdapat juga makanan ringan; laksa Penang, laksa Johor, pesembur, mi Siam dan lain-lain.

Manisan kegemaran orang Melayu ialah dari jenis bubur dan kuih muih.  Bubur pulut hitam, bubur kacang, pengat pisang dan bubur cacar (kandungan keladi, keledek dan tepung gunting) merupakan manisan yang sangat popular. Kebanyakan kuih muih orang Melayu berasaskan beras, beras pulut dan ubi. Contohnya kuih seri muka (di bawah pulut dan di atas kastad pandan) pulut panggang (pulut berisi serunding kelapa atau ikan) bengkang ubi, talam keladi, cucur badak, kuih lapis dan sagu gula Melaka.  Manisan tradisi bagi orang Melayu pula ialah dodol, wajek, kuih koci, bahulu dan onde-onde. Kuih tradisi ini masih diminati terutama pada bulan Ramadhan dan lebaran. Minuman iringan pula, orang Melayu kita tidak akan lupa menghidangkan air sirap bandung, sirap selaseh, air kelapa dan air kopi kampung.

Bila kita menyebut nasi kandar, Pulau Pinang menjelma dalam ingatan kita.  Nasi kandar di Pulau Pinang samalah seperti adanya nasi dagang di Kelantan atau Terengganu. Kini populariti nasi kandar telah menular ke negeri-negeri lain di Semenanjung. Kadang kala kita tertanya-tanya apa yang membezakan nasi kandar dengan nasi-nasi yang lain. Nasi kandar diiringi dengan pelbagai jenis lauk pauk (dalam 30 jenis masakan). Contoh hidangan lauk pauk nasi kandar ialah: ayam goreng berempah, kari kepala ikan, ikan goreng, kari telur sotong, udang galah goreng, kari daging rusa, kari kambing dan lain lain.  Berbalik mengimbas sejarah nasi kandar, kita akan ke selatan India. Di sinilah bermulanya di mana pedagang-pedagang India Muslim berulang alik antara India dan Semenanjung. 

Pada mulanya pengaruh masakan mereka ini tertumpu di utara Semenanjung sahaja: Alor Setar, Kangar, Sungai Petani dan Penang. Lama kelamaan populariti nasi kandar ini menular keseluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Nasi kandar mengekalkan nama ‘kandar’ ini berlandaskan cara penjaja nasi ini menjualnya. Nasi dikandar di bahu (dua bakul atau raga dengan satu batang kayu) dan mereka akan berjaja merentas kampung-kampung. Pasa masa kini nasi kandar boleh dinikmati di restoran-restoran dan juga di hotel. Menikmati hidangan yang disajikan di atas daun pisang juga menjadi kegemaran orang-orang Malaysia. Minuman iringan dengan nasi kandar ini ialah teh tarik. Ia sepatutnya juga menjadi air minuman kebangsaan Malaysia.

Roti canai atau paratha dan puri ini pada asalnya ialah makanan kegemaran kaum India. Buat masa kini roti canai berjaya meletakkan tarafnya bersama dengan nasi lemak, diminati oleh sebilangan besar rakyat Malaysia. Capati yang diolah dari gandum tulin mempunyai banyak khasiat dan makanan sesuai untuk penyakit kencing manis dan darah tinggi. Roti-roti ini sedap dimakan bersama dal, kari dan sambal.

Satu lagi hidangan berasal dari India ialah nasi beriani. Terdapat beberapa jenis nasi beriani tetapi yang menjadi sebutan dan gilaan ialah nasi beriani gam. Ia bukan sahaja digemari oleh kaum India tetapi juga diminati oleh kaum-kaum yang lain. Nasi beriani ini dipelopori oleh orang Melayu terutama di Johor. Nasi beriani gam ini dimasak bersama dengan lauknya (ayam dan daging) dan doh tepung gandum menjadi bahan penampal atau pelekat. Doh ini akan ditampal di sekeliling tutup periuk untuk mengekalkan wap dan haba, dan seterusnya mengekalkan aroma dan tekstur nasi. Kuih muih orang India dijual di restoran mamak ialah: wade, maruku dan suji.  Pelbagai minuman berasaskan tairu dan buah-buahan juga turut dijual.  Contohnya nasi mangga.

Masakan nyonya pada masa kini sangat diminati oleh pelbagai kaum di Malaysia. Kaum nyonya bermastautin di Melaka dan Penang. Keturunan nyonya ini dikatakan berasal dari kaum Cina dan Amoy (Xiamen) dan Fukian. Pada abad ke-12 mereka mengawini gadis Melayu tempatan dan seterusnya berkeluarga di mana anak lelaki mereka dipanggil baba dan anak perempuan dipanggil nyonya. Baba dan nyonya mengikut dan meminati nilai tradisi dan budaya Melayu. Mereka fasih berbahasa Melayu, memakai kebaya dan memahami adat resam, nilai dan tradisi orang Melayu. Walau bagaimanapun kaum baba dan nyonya ini masih mengekalkan agama dan adat resam kaum Cina. Masakan nyonya adalah gabungan masakan orang Melayu dan Cina. Contoh masakan nyonya ialah bubur caca, ikan bakar dan air asam, nasi kerabu dan lain-lain. Terdapat beberapa perbezaan antara nyonya Penang dan nyonya Melaka. Di antaranya ialah penggunaan cili, di mana masakan nyonya Penang agak pedas berbanding nyonya Melaka.  Nyonya di Penang dipengaruhi oleh Thailand di mana penggunaan limau dan asam jawa agak ketara. Masakan nyonya di Melaka mempunyai banyak pengaruh Indonesia dan Melayu. Contohnya ialah gado-gado dan penggunaan santan dalam masakan mereka. Kaum nyonya juga pandai menggayakan buah-buahan dan sayuran tempatan di dalam masakan mereka.  Di antaranya ialah jantung pisang, nangka muda, daun keledek dan belimbing buluh. Buah-buahan dan sayuran ini digabungkan dengan daun limau purut, daun kesum, bunga kantan, daun kunyit dan daun pandan.  Otak-otak, kerabu, laksa nyonya dan kuih muih nyonya mendapat tempat di buffet hotel dan restoran. Kuih nyonya terkenal dengan keenakan dan kepelbagaiannya. Kebanyakan kuih nyonya ini berasaskan resipi kuih orang Melayu tetapi diperkemaskan dan perbaharui oleh kaum nyonya. Bahan tani yang digunakan ialah ubi kayu, ubi keledek, ubi keladi, beras pulut, santan dan gula melaka.

Bagi kaum Cina pula bahan utama dalam masakan mereka ialah bahan soya (tahu, taucu, kicap soya) cendawan, bunga lily, biji bijan dan lain-lain. Bahan ini kemudiannya akan diolah bersama rempah yang digunakan oleh orang Melayu seperti biji ketumbar, kayu manis dan sebagainya. Kebanyakan masakan Cina di negara kita ini, kebanyakan resipinya berasal dari Negeri China, contohnya: yong tau foo, char koay teow, dim sum dan lain-lain.  Masakan ini telah diminati semenjak abad ke-18. Lok lok adalah satu-satu makanan Cina yang masih dijaja dan menjadi kegemaran kaum Cina. Lok lok atau dikenali dengan sate celup merupakan makanan ringan dari sayuran, daging dan makanan laut. Nasi ayam bukan sahaja dipelopori oleh kaum Cina tetapi diminati oleh semua rakyat Malaysia. Nasi ayam dihidangkan bersama ayam goreng, ayam panggang atau ayam kukus. Bagi orang Melayu mereka lebih meminati ayam yang bergoreng atau dipanggang dan kaum Cina memilih yang dikukus. Minuman iringan bagi kaum Cina ialah teh Cina dan manisan kegemaran mereka ialah buah-buahan segar dan manisan berasaskan kekacang.

Untuk mengakhiri seminar ini saya ingin menyentuh aspek etika sosial dan tata cara peradaban di meja makan di Malaysia. Sebelum itu mari kita meninjau ke dapur-dapur orang Malaysia. Terdapat pelbagai kaedah memasak yang boleh kita pelajari. Bagi kaum Melayu peralatan seperti batu lesung merupakan peralatan ‘mesti ada’ dari nenek moyang kita dahulu hingga sekarang. Sesetengah orang berpendapat sambal belacan menggunakan batu lesung lebih berperisa dibandingkan dengan yang dibuat dengan pengisar elektrik. Kaum Cina dengan kuali atau ‘wok’nya dan kaum India dengan belanganya pula. Kaum ethenik di Malaysia menganggap suasana ketika menikmati hidangan adalah aktiviti komuniti, tidak kira di rumah atau di restoran. Makanan di hidang serentak (kecuali bankuet Cina) dan setiap individu akan dihidangkan dengan nasi dan mereka akan memilih lauk pauk sendiri. Orang India dan orang Melayu menggunakan tangan dan kaum Cina dengan penyepit. Menggunakan tangan juga mempunyai etika tersendiri. Kita hanya menggunakan tangan kanan dan hujung jari sahaja.  Tapak tangan tidak digunakan dan ia mesti kelihatan bersih tidak comot.  Membasuh tangan bukan sahaja bersopan tetapi dimestikan dari segi kebersihan. Kadang kala kita akan diberi air basuh tangan oleh tuan rumah dan di restoran-restoran pula disediakan sinki basuh tangan dan sabun. Kita tidak dibenarkan sama sekali mengambil makanan dari pinggan hidang dengan tangan. Kita sepatutnya menggunakan sudu yang disediakan dengan mengambilnya dengan tangan kiri. Anda digalakkan mengambil makanan terdekat dengan anda dahulu dan tidak terlalu banyak bercakap jangan bercakap ketika mulut masih penuh dan akhir sekali tidak mengunyah terlalu kuat.

Bagi kaum Cina memang lasimnya menggunakan penyepit, tetapi di restoran dan kedai makanan ada juga yang menyediakan sudu dan garpu. Mereka dianggap tidak bersopan jika menjilat hujung penyepit dan meletakkan penyepit di atas mangkuk nasi. Letakkan penyepit di tempat yang disediakan dan jangan berebut-rebut, pastikan anda menunggu giliran apabila memusing bulatan pemusing. Pada lazimnya hidangan Cina diiringi dengan pelbagai sos, pastikan anda mengambil sos dengan sudu yang disediakan dan letakkan sos ke dalam piring kecil yang disediakan dan jangan sekali-kali mencelup makanan di pinggan hidang.

Selasa, 4 September 2012

Adakah anda pengamal makanan ulama-ulaman, sekiranya ia, sila rujuk jenis ulaman berikut sebagai panduan anda sebagai tatapan; Selamat mencuba.


Khasiat Memakan Ulam Ulaman - Jenis2 Ulam Tradistional Malaysia

by Mrbelia on 10:17 PM, 30-Sep-11

Category: Petua Dan Kesihatan




PENDAHULUAN

Ulam merupakan suatu juadah penting dalam hidangan harian di kalangan masyarakat Melayu di kampung-kampung. Kini kegemaran memakan ulam telah merebak ke kawasan kota dan merangkumi masyarakat bukan Melayu. Misalnya ulam petai sekarang ini amat digemari oleh masyarakat keturunan Cina.

Sebagai takrifan umum, ulam ialah sayur-sayuran yang dimakan mentah, dicelur atau direbus sebelum dimakan. Biasanya ulam-ulam dicicah dengan sambal, budu atau cencaluk dan dimakan bersama nasi sebagai pembuka selera. Ulam diambil dari berbagai-bagai bahagian sesuatu pokok yang boleh dimakan. Ini termasuklah pucuk, daun, umbut, biji, buah, ubi dan kadang-kadang bunga.

Mengikut takrif tersebut, sayur-sayuran biasa seperti timun, kubis dan terung boleh dijadikan ulam. Satu lagi kumpulan ulam ialah ulam tradisional. Selain dicicah dengan sambal, ulam-ulam tradisional ini juga boleh dijadikan sebagai bahan dalam penyediaan nasi ulam atau nasi kerabu dan masakan sayur lemak. Sayur-sayuran ini dianggap tradisional kerana mudah didapati di kawasan-kawasan kampung, kadang-kadang tumbuh dengan sendiri atau ditanam tanpa penjagaan rapi, serta telah dimakan sejak zaman dahulu lagi.


JENIS-JENIS ULAM TRADISIONAL

Lebih daripada 120 jenis ulam tradisional telah dikenal pasti di Malaysia sehingga kini (Muharyani 1987). Ulam-ulam ini dari berbagai famili tumbuh-tumbuhan. Ulam boleh didapati dari tumbuhan kecil dan melata seperti pegaga, hingga pokok-pokok renek dan pokok- pokok besar seperti petai dan kerdas. Sebilangan pokok ulam ini jenis semusim manakala yang lain jenis saka.

Pokok petai misalnya, tergolong dalam pokok yang besar dan tinggi. Biasanya tumbuh liar di kawasan pedalaman, di dusun atau di hutan belantara. Pokoknya boleh meninggi atau menjulang antara 20 – 30 m seperti pokok binjai. Ukuran lilit batangnya boleh menjangkau antara 2 – 5 m. Manakala pegaga pula sejenis herba yang tumbuh menjalar dengan daun berbentuk cordate berukuran selebar 1.3 – 5.1 cm dan mempunyai tangkai daun yang panjangnya 2.5 – 7.6 cm.

Berdasarkan kedapatan dan kebiasaan, ulam-ulam tradisional secara amnya boleh dibahagi kepada dua kumpulan (Jadual 1). Kumpulan ulam yang popular dan mudah didapati di pasaran, contohnya rebung buluh, cekur manis, jering, kacang kelisa, petai, ulam raja dan sebagainya. Sementara beluntas, pucuk betik, cekur, pucuk gajus dan beberapa jenis ulam lagi termasuk dalam kumpulan kedua iaitu ulam yang kurang terkenal dan jarang didapati di pasaran.


JENIS YANG POPULAR

Nama biasa dan
Nama saintifik

Buluh rebung
(Bambusa sp.)

Cekur manis
(Sauropus androgynus)

Jering
(Pithecellobium jiringa)

Kacang kelisa
(Psophocarpus tetragonolobus)

Kaduk
(Piper sarmentosum)

Kerdas
(Pithecellobium bubalinum)

Daun Kesum
(Polygonum minus)

Buah Nangka Muda
(Artocarpus integra)

Pucuk Paku
(Athyrium esculentum)

Pegaga
(Hydrocotyle asiatica)

Petai
(Parkia speciosa)

Jantung Pisang
(Musa sapientum)

Daun Selom
(Oenanthe javanica)

Terung pipit
(Solanum torvum)

Pucuk Ubi kayu
(Manihot esculenta)

Ulam raja
(Cosmos caudatus)

YANG KAT BAWAH NI PULAK KURANG DI KENALI ATAU KURANG DI MAKAN :

Beluntas
(Pluchea indica)

Pucuk Betik
(Carica papaya)

Cekur
(Kaempferia galanga)

Pucuk Gajus
(Annacardium occidentale)

Geli-geli
(Lasia spinosa)

Daun Kelor
(Moringa oleifera)

Kemahang
(Colocasia esculenta)

Daun Keman
(Neptunia prostrata)

Keremak
(Alternanthera triandra)

Pucuk Mengkudu
(Morinda citrifolia)

Pina-pina
(Pterococcus corniculatus)

Pucuk Putat
(Barringtonia racemosa)

Paku rawan
(Limnocharis flava)

Salang
(Claoxylon longifolium)

Setang
(Melia excelsa)

Tapak itik
(Marsilis minuta)

PENGELUARAN

Cuma beberapa jenis ulam tradisional sahaja yang ditanam. Itu pun secara kecil-kecilan untuk keperluan sendiri atau dipasarkan. Antara ulam-ulam tersebut termasuklah ulam raja, selom dan kacang kelisa. Kebanyakan jenis ulam seperti jering, pucuk putat dan rebung dikutip dari tumbuh-tumbuhan yang tumbuh dalam keadaan semulajadi seperti hutan atau dusun. Sebilangan besarnya pula merupakan hasil sampingan sesuatu tanaman yang ditanam untuk tujuan lain. Golongan ini termasuklah jantung pisang, pucuk ubi, nangka muda dan pucuk gajus.



Memandangkan perkara-perkara tersebut, tahap pengeluaran dan keluasan kawasan tanaman ulam adalah amat sukar untuk ditentukan. Walau bagaimanapun, oleh sebab permintaan yang meningkat untuk beberapa jenis ulam terutama petai, terdapat petani-petani yang telah mula menanam ulam-ulam secara meluas atau komersial.


KHASIAT- KHASIAT ULAM
KHASIAT PEMAKANAN

Sebagaimana sayur-sayuran biasa, ulam-ulam juga mengandungi nilai pemakanan yang penting seperti karbohidrat, lemak, protein, mineral-mineral dan vitamin-vitamin untuk kesihatan manusia. Khasiat pemakanan beberapa jenis ulam utama yang dibandingkan dengan kubis dan sawi disenaraikan dalam Jadual 2.

Secara amnya ulam-ulam jenis biji, seperti petai dan jering, mempunyai nilai kalori atau tenaga yang tinggi (102 – 124 kcal/100g). Kandungan kalori ulam-ulam jenis buah pula sederhana, misalnya 78 kcal/100g bagi terung pipit. Kandungan kalori ulam-ulam jenis daun atau pucuk agak rendah iaitu 17 – 74 kcal/100g. Biasanya kandungan kalori ini berkait rapat dengan kandungan karbohidrat dan lemak. Bagaimanapun kandungan lemak ulam-ulam utama yang dikaji kurang daripada 1.8g/100g ulam.



Kandungan nutrisi biji petai berbeza mengikut umur dan kesegaran bijinya. Petai yang kecut atau bijinya tidak membulat merupakan petai yang tidak elok serta kandungan khasiatnya kurang. Petai yang segar mengandungi kandungan protein yang tinggi (10g/100g petai) dibandingkan dengan ulam-ulam lain. Kajian oleh MARDI menunjukkan bahawa protein di dalam petai dan jering adalah bermutu tinggi kerana mengandungi profil asid amino yang baik terutama asid-asid amino perlu. Kandungan protein bagi jering, pucuk ubi dan cekur manis pula di antara 5.8 dan 7.6 g/100g ulam. Ulam-ulam lain yang dikaji mempunyai kandungan protein yang kurang daripada 3.8 g/100g ulam.



Kebanyakan ulam mengandungi mineral-mineral utama seperti kalsium (Ca), fosforus (P), besi (Fe), natrium (Na) dan kalium (K). Daun kaduk didapati mempunyai Ca, P dan Fe yang paling tinggi iaitu sebanyak 446, 50 dan 13.1 mg masing-masing bagi setiap 100g, dibandingkan dengan ulam-ulam lain.



Kebanyakan ulam juga mengandungi vitamin-vitamin utama seperti karotena, vitamin A, B dan C. Antara ulam-ulam yang dikaji, cekur manis didapati amat kaya dengan karotena iaitu sebanyak 17 870 mg/100g ulam, dibandingkan dengan ulam-ulam lain yang karotenanya kurang daripada 5 700 mg/100g. Cekur manis dan pucuk ubi kayu didapati kaya dengan vitamin C (136 – 192 mg vitamin C/100g) dibandingkan dengan ulam-ulam lain. Kedua-dua jenis ulam ini sangat mudah didapati kerana tumbuh meliar di kawasan dusun atau belukar. Ia juga mudah tumbuh jika ditanam dan tahan terhadap penyakit.



Kebanyakan vitamin yang terkandung di dalam ulam tidak dimusnahkan oleh haba. Ini kerana biasanya ulam-ulam dimakan mentah iaitu tidak dimasak atau jika perlu direbus seketika sebelum dimakan. Vitamin yang mudah larut di dalam air dan mudah dimusnahkan oleh haba ialah vitamin B dan vitamin C.



Serabut adalah satu lagi komponen yang penting di dalam ulam-ulam. Sungguhpun serabut tidak dihadamkan, kita memerlukan sejumlah serabut untuk menjaga kesihatan badan. Serabut berguna untuk memberikan pukal (bulk) pada bahan buangan dan untuk pergerakan bahan buangan di dalam saluran penghadaman. Kekurangan serabut dalam sajian akan menyebabkan sembelit dan buasir. Sebilangan besar ulam, terutama jenis daun, mempunyai kandungan serabut yang melebihi 1.5 g/100g ulam. Kandungan serabut daun kaduk ialah antara yang tertinggi, iaitu sebanyak 2.7 g/100g daun.


KHASIAT PERUBATAN

Ulaman tempatan yang kita miliki sebenarnya buka sahaja sebagai pembuka selera malah ada yang menjadi penawar di samping sumber makanan yang berkhasiat. Dalam perubatan tradisional Melayu, beberapa jenis ulam dikatakan mempunyai khasiat perubatan sama ada sebagai pencegah atau penyembuh penyakit (Jadual 3).



Pegaga telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba menjanakan kecerdasan berfikir di kalangan kanak-kanak. Sementara itu, Dr. Robert D. Willix Jr. dalam bukunya Health ang Longevity Newsletter menggelar pegaga sebagai “herba ajaib” kerana dapat membantu peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit. Rajen M, seorang ahli farmasi yang juga pensyarah di Universiti Malaya menyatakan khasiat pegaga telah lama diiktiraf di seluruh Asia.



Jering pula didapati mengandungi sejenis sebatian alkaloid yang boleh memberi rangsangan untuk membuang air kecil. Sementara bagi pesakit kencing manis pula, jering boleh menjadi penawar yang berkesan sekiranya diambil secara berterusan dengan kadar yang sedikit. Ini kerana kandungan sebatian alkaloid di dalamnya mampu meneutralkan kandungan gula di dalam badan. Khasiat daun kaduk untuk memperkuatkan tulang pula mungkin disebabkan oleh kandungan mineral, terutamanya kalsium yang tinggi.

Jadual 3. Khasiat Ulam Mengikut Perubatan Tradisional Melayu


Jenis Ulam
Khasiat

Cekur
Menguncupkan rahim (untuk wanita lepas bersalin), mencegah sakit dan sengal tulang, demam, batuk dan sakit kerongkong.

Jering
Mencegah penyakit kencing manis, membersihkan buah pinggang, memperbaiki pembuangan air kecil dan memperkuat tulang.

Kaduk
Memperkuatkan tulang.

Pegaga
Menguncupkan rahim, mengawet muda, memperbaiki peredaran darah, pertumbuhan rambut, memperkuatkan gigi dan untuk kecerdasan otak.

Petai
Mencegah penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, kembung, membersihkan darah dan usus.

Pucuk betik
Membantu penghadaman.

Pucuk gajus
Membersihkan darah.

Pucuk mengkudu
Mencegah sakit kepala, buasir, kembung dan menguncupkan rahim.

Pucuk putat
Mencegah pening dan darah tinggi, membersihkan darah dan menguncupkan rahim.

Ulam raja
Membersihkan darah dan memperkuatkan tulang

TQ
Sekiranya anda meminati makanan dan kuih muih tradtional melayu, anda adalah seorang bijak kerana ia memiliki seni dan keunikannya tersendiri. Anda boleh mengenalinya dengan menatapnya disini;



Rumah kediaman menarik untuk dimiliki oleh pengemar konservatif serta makanan yang enak, bergizi dan berkhasiat membantu mengekal kesihatan tubuh badan, oleh yang demikian adalah bijak memilih makanan yang sederhana tetapi berkhasiat. Selamat menjaga kesihatan dengan memilih makanan yang sesuai.
tq.




Makanan sedia ada untuk santapan anda & Keluarga;

Gambaran Yang Mengheningkan suasana ketika mengagumi kebesaran yang Maha Esa




Gambar Pemandangan sebagai tatapan 'Merenungi Kebesaran I'llahi'

BOWOTASTY

Selamat datang ke Bowotasty,

Bowotasty memperkenalkan produk makanan tradisi seperti Gado-gado bowo, soto bowo dan kuih tradisi. Selamat melayari.
Untuk makluman tambahan anda, Bowotasty ada menyediakan kuih melayu seperti kuih peria, badak berendam, puteri ayu dan lain-lain. Sekiranya berminat sila hubungi untuk keterangan lanjut. TQ